Ahad, 2009 September 27

'Panglima celup' dalam politik Malaysia

Sinar Harian 19 Sept 2009


Saya senyum, ya… senyum sahaja tatkala membaca kenyataan pembela-pembela Tun Mahathir yang saya percaya, termasuk dalam golongan itu adalah mereka yang saya boleh panggil ‘panglima celup’.

Sebabnya, kerana sebilangan daripada mereka yang membela setelah Tun Mahathir dihina dalam isu ‘kalung selipar’, adalah juga mereka yang pernah menghina negarawan itu semasa era Pak Lah dahulu.

Tidak! Saya tidak katakan Pak Lah terbabit dalam usaha menghina Tun Mahathir waktu itu tetapi umum mengetahui bahawa dinginnya hubungan antara dua pemimpin itu telah mendorong ramai juak-juak yang mahu mengambil kesempatan untuk melempar kecaman yang sangat biadab – malah lebih biadab daripada isu kalung selipar – bagi menunjukkan kesungguhan mereka membela Pak Lah yang dikritik Tun Mahathir.

Dan sekarang, apabila Tun Mahathir dikritik, dihina, kita dapat lihat orang yang sama juga tampil sebagai pembela. Saya tidak kata, semua yang membela Tun Mahathir dalam isu kalung selipar adalah mereka yang pernah menghinanya dahulu tetapi saya percaya, ramai orang masih ingat bahawa dalam kalangan itu, siapa yang saya maksudkan sememangnya ada.

Dan saya juga percaya, jika isu kalung selipar ini tercetus semasa Pak Lah masih memerintah, situasinya boleh jadi berbeza. Mungkin tidak ada mereka yang saya boleh panggil panglima termasuk ‘panglima celup’ akan tampil membela Tun Mahathir segarang ini. Yang membezakannya, kerana Malaysia sekarang diperintah oleh Datuk Seri Najib yang lebih ‘Mesra Mahathir’ berbanding Pak Lah.

Dengan itu, tidak hairanlah suara untuk membela Tun Mahathir dalam isu kalung selipar ini juga menjadi cukup lantang dan terkehadapan.

Saya sebenarnya bukan mahu berbicara mengenai orang yang terlibat atau isu kalung selipar secara khusus tetapi mahu kita sama-sama menilai, inilah wajah sebilangan ahli politik kita hari ini.

Saya kadang kala berasa sangat sedih apabila melihat, sekadar untuk menyatakan pendirian, mereka menoleh dahulu kiri kanan menilai kepentingan. Ramai daripada mereka yang tidak bersikap objektif tetapi sekadar ikut-ikutan.

Untuk berkata sesuatu, mereka tidak lagi melihat kebenaran atau keadilan tetapi apa kepentingan yang mereka boleh raih daripada kenyataan itu. Dan sudah tentu kenyataan itu dipastikan tidak bercanggah dengan pendirian Orang No 1, yang merujuk kepada siapa yang paling berkuasa waktu itu.

Untuk dilihat senada dengan Orang No 1, mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk menghentam Tun Mahathir habis-habisan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Saya tidak nafikan, Sukumaran yang mencadang Tun Mahathir dikalung selipar mungkin juga termasuk dalam golongan itu atas niatnya untuk mengambil hati Samy Vellu yang terdahulu telah dikritik oleh Tun Mahathir dalam interbiu dengan Malaysian Nanban.

Malah Samy Vellu sendiri juga, mengikut kenyataan Datuk Seri Aziz Shamsuddin, adalah antara orang yang paling banyak mencium tangan Tun Mahathir semasa beliau memerintah. Namun, bak kata pepatah Melayu, pokok apabila sudah tumbang, kura-kura pun boleh meniti.

Sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Mahathir tentunya sudah cukup masak untuk berdepan dengan realiti seperti ini.

Dan saya percaya, Pak Lah juga sedang cuba memahami apa yang sedang dilaluinya kini.

1 ulasan:

Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) berkata...

saya lebih suka menggunakan istilah pak turut. simple, dan tepat dengan definisinya.

hakikatnya, inilah politik berteraskan demokrasi - satu suara majoriti mentadbir keseluruhannya. satu nada, satu Malaysia.

maaf jika berbunyi emosional pula.